fb fb fb fb fb

Kerajaan tangguh pelaksanaan cukai jualan LVG

(Ahmad Maslan)

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Kementerian Kewangan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) dari 1 April 2023 ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penangguhan tersebut adalah bagi mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa yang secukupnya untuk membuat persiapan sewajarnya sebelum cukai berkenaan dilaksanakan.

"Ia (penangguhan) bagi mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa yang secukupnya terutama bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk membuat persediaan sewajarnya dari segi penyelarasan ke atas model perniagaan, penambahbaikan ke atas sistem komputer, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi.

"Cukai ini nanti akan dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Draf panduannya boleh dilihat menerusi portal di www.kastam.gov.my," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya lagi, unjuran awal kutipan hasil cukai jualan LVG kepada negara adalah sebanyak RM200 juta pada tahun pertama pelaksanaan dengan dijangka akan memberi tambahan hasil yang lebih besar pada tahun-tahun berikutnya berdasarkan senario perkembangan pesat ekonomi e-dagang pada masa kini.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kutipan cukai daripada hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM218.3 bilion berbanding tahun lalu, iaitu RM208.8 bilion.

Hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2022 adalah berjumlah RM294.4 bilion, lebih tinggi dari tahun 2021 iaitu RM233.8 bilion.

"Hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021 adalah berjumlah RM233.8 bilion. Daripada jumlah tersebut, hasil cukai adalah sebanyak RM173.7 bilion atau 11.2% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"Sementara itu, bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM291.5 bilion. Daripada jumlah tersebut, hasil cukai adalah sebanyak RM218.3 bilion atau 11.6% kepada KDNK," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tambahnya lagi, jumlah KDNK tahun ini ialah sekitar RM1.9 trilion daripada enam tahun purata jumlah hasil cukai kepada KDNK ialah 11.55%.

(Foto hiasan)

Media Baharu