KUALA LUMPUR, 30 Mac- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka tersebut menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dimaklumkan mempunyai masalah kesihatan.
(Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
"Saya sudah mengutuskan warkah kepada TYT Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri dan dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri yang baharu," katanya.
Berhubung status Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, EXCO pula, Datuk Seri Dr Zahid berharap kerajaan negeri Melaka dapat menerima semangat Kerajaan Perpaduan yang menjadi Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskannya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), di Bangunan Parlimen.