fb fb fb fb fb

Pelatih PLKN wajib lapor diri, tindakan undang-undang jika ingkar

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Semua individu yang terpilih sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Sesi 2/2025, diminta melapor diri di kem PLKN pada atau sebelum esok, pukul 12.00 tengah hari.

Arahan itu seperti yang ditetapkan mengikut surat panggilan rasmi.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan menegaskan kehadiran pelatih yang terpilih adalah diwajibkan.

"Kegagalan untuk melapor diri tanpa alasan yang munasabah atau tanpa pembuktian masalah kesihatan yang disahkan oleh pakar perubatan akan dianggap sebagai ingkar arahan.

"Mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan sedia ada Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara," menurut kenyataan itu.

Tegas JLKN, mana-mana pelatih yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara, dianggap melakukan suatu kesalahan.

"Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Sebarang usaha oleh pihak lain untuk menghasut atau memujuk mana-mana pelatih agar tidak hadir tanpa kebenaran juga merupakan suatu kesalahan yang serius mengikut Seksyen 19(2)," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, JLKN menyeru semua yang terlibat agar memberikan kerjasama sepenuhnya demi kelancaran pelaksanaan program serta pembangunan jati diri generasi muda negara.

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh hubungi Bahagian Pengurusan Latihan JLKN atau layari laman web rasmi di https://jlkn.mod.gov.my.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello