fb fb fb fb fb

Pelancongan Gastronomi di Pahang tarik 9.04 juta pelancong domestik

Exco Pelancongan Pahang, Leong Yu Man

KUANTAN, 19 November- Kepelbagaian acara yang dimuatkan dalam kalendar pelancongan Pahang, telah memberi impak besar kepada kehadiran pelancong ke negeri itu.

Setakat September lalu, Pahang merekodkan 9.04 juta kehadiran pelancong domestik, selaras sasaran Tourism Pahang untuk mencapai 13 juta orang pelancong pada tahun ini.

Menurut Exco Pelancongan Pahang, Leong Yu Man, antara daya tarikan baharu yang berupaya menarik pelancong ke negeri itu adalah berasaskan Pelancongan Gastronomi.

Ini kerana Pahang mempunyai keunikan tersendiri produk-produk yang berasaskan makanan.

Malah, kepelbagaian jenis makanan daripada 11 daerah di negeri itu, secara tidak langsung turut memberi kesan kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

"Negeri Pahang kalau kita sedar, patin tempoyak, musang king, puding raja, juga merupakan makanan yang dapat menarik pengunjung untuk melawat ke negeri ini untuk mendapatkan makanan-makanan dan minuman.

"Kita berharap bahawa dengan meneruskan usaha ini 'gastronomi tourism' akan menjadi salah satu trend untuk meningkatkan ketibaan pelawat ke negeri Pahang,"katanya.

Beliau ditemui pemberita pada perasmian Festival Kopi Pahang 2023, di Kuantan, Pahang.

Festival Kopi tersebut merupakan salah satu produk baharu yang akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan Pahang, dengan skala yang lebih besar pada masa akan datang.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu turut mendapat penyertaan usahawan tempatan dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE