fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kerjasama dengan Kementerian Pertanian China

Datuk Seri Fadillah Yusof/ Foto Bernama

BEIJING 18 November- China secara prinsip menyatakan persetujuan untuk meningkatkan import komoditi khususnya berhubung import minyak sawit serta beberapa komoditi pertanian lain termasuk durian segar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, "pihaknya menjangkakan eksport sawit mampu ditingkatkan kepada 3.4 juta tan setahun menjelang 2024, berbanding 3.14 juta tan sebelum ini.

"Turut dipersetujui ialah kerjasama dari segi Penyelidikan dan Pembangunan bagi menghasilkan produk hiliran berasaskan minyak sawit," katanya.

Negara Republik itu turut menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama, bagi mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) untuk menggalakkan pembangunan mampan.

Lawatan Fadillah ke negara tembok besar itu adalah kesinambungan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lepas.

Ia turut disertai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin serta Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

China sebagai rakan dagang terbesar Kuala Lumpur telah menyumbang 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian dengan nilai RM26.46 billion.

Bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara, tahun depan, Beijing juga mencadangkan satu Perjanjian Persefahaman (MOU) antara KPK dengan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dalam tempoh empat bulan akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI