fb fb fb fb fb

Isu GEG: AGC dakwa telah beri pandangan undang-undang secara konsisten sejak 2022

Khairy Jamaluddin / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberi pandangan secara konsisten sejak 2022 bahawa peruntukan berkaitan generasi penamat atau GEG dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di mahkamah.

Kenyataan AGC memaklumkan bahawa peruntukan itu adalah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

'Jabatan ini menegaskan bahawa Jabatan ini pada setiap masa secara konsisten telah memberikan pandangan undang-undang sejak tahun 2022 bahawa peruntukan berkenaan dengan generasi penamat (generational end game) yang diperuntukkan di dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memandangkan peruntukan itu mewujudkan layanan undang-undang yang tidak sama rata di antara seseorang yang dilahirkan sebelum 1 Januari 2007 dan seseorang yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007,"menurut kenyataan itu.

AGC merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan CodeBlue pada 14 November lepas dan portal akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times pada 16 November lepas.

Khairy mendakwa AGC telah memberikan keizinan kepada rang undang-undang itu ketika dibawa ke Parlimen pada tahun lepas sebelum membuat keputusan mendadak untuk menggugurkannya.

Beliau mendakwa tindakan menggugurkan rang undang-undang itu dilakukan susulan tekanan politik berbanding kebimbangan terhadap kesahihannya dari segi perlembagaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE