fb fb fb fb fb

Pelan Tindakan ASEAN-India 2021–2025, capai pelaksanaan 100 peratus

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar India, Pabitra Margherita. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai –Hubungan strategik ASEAN-India mencatatkan satu lagi kejayaan penting apabila kedua-dua pihak mencapai pelaksanaan penuh atau 100 peratus terhadap Pelan Tindakan ASEAN-India 2021–2025, dan kini bersiap sedia untuk meluluskan Pelan Tindakan baharu bagi tempoh 2026–2030.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar India, Pabitra Margherita, ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam Persidangan Pasca Menteri-Menteri ASEAN-India 2025 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Filipina, Maria Theresa Lazaro.

“Dengan sokongan daripada rakan-rakan ASEAN, kami telah mencapai pelaksanaan 100 peratus Pelan Tindakan ASEAN-India 2021–2025.

"Berdasarkan arahan daripada para pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN-India yang lalu, saya berharap kita akan dapat meluluskan Pelan Tindakan ASEAN-India baharu hari ini untuk tempoh 2026–2030 bagi terus memajukan kerjasama kita.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Menteri Luar ASEAN atas usaha luar biasa dalam memperkukuh hubungan ASEAN-India melalui kerjasama yang substantif dan nyata,” katanya.

Sidang kali ini menyaksikan penegasan semula India terhadap komitmen kukuhnya dalam menyokong keterpusatan dan perpaduan ASEAN, di samping mengekalkan tumpuan kepada perintah antarabangsa berasaskan undang-undang dan kerjasama Indo-Pasifik.

Margherita menyifatkan ASEAN sebagai “tonggak dasar Act East India” dan menekankan sinergi antara pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik dan Inisiatif Lautan Indo-Pasifik India sebagai asas penting kepada kestabilan rantau ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa Lazaro, turut menekankan kepentingan hubungan jangka panjang ASEAN dan India yang dibina atas ikatan sejarah, kerjasama ekonomi serta komitmen bersama terhadap keamanan dan pembangunan sosial budaya.

India turut mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN bermula Oktober 2025, dan menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong negara baharu itu.

“India akan terus berdiri bersama Timor-Leste dalam menyokong penyertaannya dalam kerangka ASEAN,” kata Margherita.

Tahun 2025 juga diisytiharkan sebagai Tahun Pelancongan ASEAN-India, selaras dengan matlamat untuk memperkukuh pertukaran antara rakyat.

Dalam hal ini, India telah mengumumkan sumbangan sebanyak $AS5 juta bagi menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Pelancongan ASEAN-India.

Ucapan Margherita turut menyentuh kenyataan Perdana Menteri India, Narendra Modi, semasa Sidang Kemuncak ASEAN-India yang lalu di Vientiane, Laos.

“Abad ke-21 ialah abad ASEAN – abad untuk India dan negara-negara ASEAN,” kata beliau sambil menyeru agar kenyataan itu direalisasikan melalui tindakan bersama.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI