fb fb fb fb fb

Pelan Induk Air Selangor, tangani isu kemarau dan banjir

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/BERNAMA

KUALA SELANGOR, 13 Mei- Pelan Induk Air yang komprehensif sedang giat dibangunkan kerajaan negeri Selangor.

Usaha itu bagi menangani isu bekalan air mentah, risiko kemarau serta pengurusan banjir yang lebih sistematik dan bersepadu.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pelan induk tersebut dijangka siap dalam tempoh setahun akan datang merangkumi aspek penyimpanan air, lokasi kolam tadahan serta sistem kawalan banjir jangka panjang.

"Pelan induk itu akan memberikan satu garis panduan. Bagaimana kalau ada lebihan air, di mana lokasi penyimpanannya? Apa projek nak dilaksanakan? Kalau berlaku kemarau, di mana kolam-kolamnya? Itu memang kita sudah ada.

Oleh sebab itu, kita yakin apabila kita maklumkan bahawa maksimum kita boleh bertahan adalah sembilan bulan. Sembilan bulan itu kalau semua badan-badan air yang ada di negeri Selangor ini, dapat kita gunakan," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Bestari Jaya, Kuala Selangor, hari ini.

Tambahnya, SJAM dilaksana sebagai usaha kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air mentah di Selangor mencukupi, kira-kira 50 tahun akan datang.

Sementara itu, cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di Selangor akan dibentang dan dibincangkan dengan lebih teliti pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Jelas Datuk Seri Amirudin, arahan telah dikeluarkan kepada Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, susulan mesyuarat bersepadu yang dijalankan bersama agensi terlibat sebelum ini.

"Dia akan bentangkan dalam MMKN. Saya sudah mengarahkan untuk sediakan kertas kerja. Kita akan mempertimbangkan.

Keputusan kerajaan negeri harus melihat secara menyeluruh aspek-aspek ini supaya ia dapat memberi jaminan kepada kesihatan generasi masa depan dan juga pada hari ini," ujar Datuk Seri Amirudin.

Dalam pada itu, Selangor bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kebimbangan mangsa kejadian letupan paip gas Putra Heights, Subang Jaya berkaitan masalah tuntutan insurans yang dihadapi mereka.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bagaimanapun ia masih perlu merujuk kepada polisi insurans berdasarkan persetujuan dan perjanjian antara mangsa dan syarikat insurans.

"Kerajaan negeri mungkin boleh bantu untuk jadi mediator (orang tengah). Ini kerana perjanjian antara dua pihak iaitu pemilik polisi dan syarikat insurans.

Jika tuntutan itu ada dalam polisi insurans mereka, maka kerajaan negeri sedia membantu. Tetapi, kita akan selesaikan masalah asas dahulu," jelas Datuk Seri Amirudin.

Tambah Amirudin, beliau akan mengadakan pertemuan dengan unit bencana bagi menyelesaikan isu mangsa yang belum menerima bantuan rumah sewa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM