fb fb fb fb fb

Sumbangan awal disalur bantu urusan pengebumian 9 anggota FRU terkorban

Foto Bernama

TELUK INTAN, 13 Mei - Kerajaan Perak menyalurkan sumbangan awal bagi membantu urusan pengebumian dan pengurusan jasad sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Sungai Lampam, pagi tadi.

Exco Kerajaan Negeri Khairuddin Abu Hanipah berkata, bantuan disalurkan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga mangsa terbabit dalam insiden tragis itu.

"Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal bagi membantu proses pengurusan jenazah. Dan Insya-Allah dalam mesyuarat exco akan datang, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, akan berbincang tentang bentuk bantuan susulan kepada keluarga mangsa," katanya kepada pemberita.

Menurut Khairuddin, kerajaan negeri amat bersedih dengan tragedi menyayat hati itu dan berharap agar semua waris tabah menghadapi ujian dan mendoakan anggota yang masih dirawat diberi kesembuhan segera.

Kesemua jasad mangsa nahas akan dibawa ke ke Markas FRU Sungai Senam, Ipoh untuk penghormatan terakhir. Sebelum itu, bagi jenazah beragama Islam, solat jenazah akan diadakan terlebih dahulu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

TETITIA YUSOFF