LENGGONG, 13 Mei - Sebuah Pondok Polis Kekal Kampung Beng bernilai RM11.3 juta bakal dibina melibatkan kawasan seluas dua hektar berdekatan kampung berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerja -kerja awal pembinaan pondok tersebut akan dimulakan dalam tahun ini.
Sementara pondok polis kekal itu siap, sebuah pondok polis sementara telah dibina di kampung itu yang dapat memanfaatkan lebih 3,000 penduduk melibatkan beberapa buah kampung kawasan itu.
"Sebab itu penting adanya pondok polis ini. Ia bukan semata-mata bertujuan menyokong aktiviti pelancongan di kawasan itu, tetapi dibina berasaskan pelbagai faktor dan pertimbangan pihak kerajaan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pengoperasian Pondok Polis Kampung Beng Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di Pondok Polis Kampung Beng Lenggong, Gerik, Perak.
Mengulas mengenai pondok polis sementara, beliau berkata kemudahan itu dibina pada 10 Oktober 2024 dan siap sepenuhnya pada 30 April lepas, serta mula beroperasi hari ini melibatkan kekuatan tiga anggota polis yang ditempatkan setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
"Langkah ini kita lakukan sebelum pondok polis kekal siap sepenuhnya, selain memudahkan penduduk membuat aduan kerana sebelum ini mereka terpaksa ke Balai Polis Lenggong yang agak jauh," katanya yang turut berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong atas bantuan dalam merealisasikan kewujudan kemudahan berkenaan.
Tambahnya lagi, pihak PDRM sentiasa bersiap sedia atas sebarang isu keselamatan di kampung tersebut tidak terhad pada waktu operasinya sahaja.