fb fb fb fb fb

Pelan Digitalisasi MAIPs 2023-2027, pemegang amanah umat Islam

SIMPANG EMPAT, 18 Oktober - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membangunkan Pelan Digitalisasi MAIPs 2023-2027 bagi memastikan agensi itu bersedia memainkan peranan sebagai pemegang amanah umat Islam yang selari dengan keperluan semasa.

Pelan itu adalah untuk memperkukuhkan lagi proses kerja melalui transformasi digital dalam pentadbiran dan perkhidmatan MAIPs menerusi pengurusan Hal Ehwal Islam di negeri Perlis selari perkembangan dunia teknologi maklumat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelan jangka masa panjang tersebut juga untuk memastikan kelangsungan pengurusan MAIPs melalui pendekatan digitalisasi perkhidmatan kepada warga Perlis dan pemegang-pemegang taruh MAIPs supaya lebih cemerlang.
 
"Usaha menaiktaraf infrastruktur teknologi, meningkat kebolehan modal insan dan mengemaskini proses yang disarankan dalam kerangka kerja ini pasti membawa kepada perubahan yang perlu diuruskan secara berterusan," titah Baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program MAIPs Peduli di Masjid Al-Hasyimi, Long Boh.

Pada majlis itu, seramai 70 anak kariah Masjid Nurul Muttaqin Che Ok dan 70 lagi dari Masjid Al-Azhar Kampung Tebuk dalam kalangan asnaf terpilih, masing-masing menerima agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreem Akashah Khalil berjumlah RM98,000.

(70 anak kariah Masjid Nurul Muttaqin Che Ok dan 70 lagi dari
Masjid Al-Azhar Kampung Tebuk terima zakat daripada
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis,
Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreem Akashah Khalil)

Media Baharu