SERDANG, 5 Oktober – Sebarang pelan damai bagi menyelesaikan konflik Gaza mesti bersifat adil dan tidak berat sebelah, selain memastikan hak rakyat Palestin dikembalikan sepenuhnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika mengulas mengenai 20 cadangan Pelan Damai Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi menghentikan genosid Israel di Palestin.
“Walaupun pada dasarnya Hamas telah menerima pelan tersebut, saya yakin masih banyak perincian yang perlu diperhalusi agar ia tidak berat sebelah. Yang penting bukan sekadar pengiktirafan atau penubuhan negara Palestin, tetapi hak rakyat Palestin mesti dikembalikan sepenuhnya.
“Negara Palestin juga mesti ditadbir oleh rakyat Palestin sendiri, bukan oleh mana-mana pihak luar atau negara lain yang cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran mereka,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/Foto RTM
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kilauan Mutiara FBMK 2025 anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan atas kesudian menggunakan Lapangan Terbang Istanbul bagi membantu membawa pulang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) ke Malaysia.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar yang telah memohon jasa baik Turkiye untuk membantu aktivis kita,” katanya.