fb fb fb fb fb

FBMK UPM benteng pembentukan jati diri bangsa – TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama para penerima anugerah dan para penaja pada Majlis Malam Kilauan Mutiara Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia/Foto Bernama

SERDANG, 5 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pusat kecemerlangan ilmu serta benteng pembentukan jati diri, yang telah melahirkan ramai tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang.

Katanya, UPM bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi medan membina semangat, disiplin dan komitmen.

“Bahasa itu jiwa bangsa, komunikasi itu jambatan peradaban. Semoga mutiara ilmu ini terus berkilau untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Kilauan Mutiara Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) sempena sambutan 30 tahun penubuhan fakulti berkenaan di Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Sabtu.

0510 ZAHID FBMK UPM 2Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi/Foto Bernama

Ahmad Zahid yang juga alumni FBMK turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi membiayai sepenuhnya penaiktarafan Latar Siswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Menurut beliau, sumbangan itu dibuat selepas dimaklumkan bahawa penganjuran majlis berkenaan bertujuan mengumpul dana bagi menaik taraf kemudahan fakulti tersebut.

“Saya menawarkan diri untuk membiayai sepenuhnya pembinaan tersebut sebanyak RM200,000,” katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh jaringan alumni universiti berkenaan.

Anak beliau, Nurul Hidayah Ahmad Zahid, turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Chapter Alumni FBMK sebagai galakan kepada generasi muda untuk terus menyumbang kembali kepada alma mater.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima Anugerah Alumni Ikon (Kepimpinan Alumni) FBMK sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau yang menjadi inspirasi kepada warga universiti.

Majlis Malam Kilauan Mutiara FBMK 2025 turut menjadi simbol penghargaan terhadap jasa serta nilai ilmu yang disumbangkan oleh warga dan alumni fakulti itu sepanjang tiga dekad penubuhannya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN