PUTRAJAYA, 5 Oktober – Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel, pada Sabtu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan tersebut telah berlepas dari Eilat, Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 pada pukul 1.40 petang waktu tempatan, sebelum tiba di Istanbul, Turkiye pada pukul 3.40 petang waktu tempatan.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat, dan kini menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul sebelum pulang ke tanah air pada Ahad atau Isnin,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan dan usaha berterusan beliau dalam memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan.
Foto FB Wisma Putra
Penghargaan turut disampaikan kepada Kerajaan Turkiye atas sokongan penting yang diberikan, selain peranan Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat, dan negara-negara ASEAN yang mempunyai Kedutaan di Tel Aviv.
Dalam kenyataan sama, Kementerian turut menzahirkan terima kasih kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara yang memperlihatkan solidariti tinggi rakyat Malaysia terhadap Palestin.
“Meskipun flotilla berkenaan tidak dapat sampai ke Gaza, misi itu dianggap berjaya meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai sekatan haram rejim Zionis Israel, sekali gus menegaskan komitmen Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin serta menentang kekejaman dan bencana kemanusiaan di Gaza,” tambah kenyataan itu.
Malaysia menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan usaha kemanusiaan dilindungi serta solidariti global terhadap Palestin diperkukuh.