
KOTA KINABALU, 16 Januari – Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus kekal sebagai antara agenda utama Kerajaan MADANI.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memperhalusi perkara-perkara di bawah MA63 yang masih perlu diselesaikan.
“Pelaksanaan MA63 dijalankan melalui perbincangan dan rundingan, terutama melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026, di sini hari ini.
Acara tersebut dirasmikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.
Tan Sri Mohd Dusuki berkata, Pihak Peguam Negara (AGC) akan terus memainkan peranan aktif dalam memudahkan rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, berkaitan semakan geran khas yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara lain yang sedang dikaji dengan teliti oleh Kerajaan Persekutuan dalam rundingan bersama Sabah dan Sarawak, termasuk cadangan untuk meningkatkan bilangan kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada wakil daripada Sabah dan Sarawak.
“Turut dikaji ialah pemerkasaan kuasa negeri dalam perkara berkaitan pengurusan sisa terjadual, yang kini dikawal selia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan perkara-perkara itu, memerlukan perbincangan yang luas dan teliti, terutama apabila melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Tan Sri Mohd Dusuki juga memberi jaminan bahawa AGC memikul tanggungjawab berat untuk memastikan semua cadangan reformasi undang-undang, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan ikhlas mencerminkan aspirasi yang terkandung dalam MA63.