fb fb fb fb fb

Sasar pelaksanaan 5G sehingga 80% liputan kawasan berpenduduk

PUTRAJAYA, 03 Mei- Kerajaan bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi kenyataan berkata peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

"Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.


(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil/BERNAMA)

"Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

"Selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh YAB Perdana Menteri, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar berpatutan untuk rakyat", katanya.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.

Media Baharu