fb fb fb fb fb

Pelaksanaan 5G kekal seperti yang dirancang kerajaan

SHAH ALAM, 3 September- Kerajaan akan memastikan pelaksanaan 5G di Malaysia berjalan seiring garis masa perancangan meskipun dua pengendali rangkaian mudah alih, MNO mengambil keputusan untuk tidak mengambil kepentingan dari Digital Nasional Bhd (DNB).

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, susulan penarikan dua syarikat tersebut rundingan dengan empat lagi MNO akan diteruskan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

"Kementerian kekalkan garis masa perancangan sedia ada yakni roll-out seboleh-bolehnya pada bulan ini, walaupun kemungkinan rundingan kalau sampai akhir September, maka awal Oktober kena ada roll-out.

“Saya tidak mahu bertangguh dan tidak mahu kerana satu dua syarikat mengubah pendirian rancangan kerajaan nak roll-out 5G tergendala, jadi kita perlu berjalan dengan lancar," Kata Annuar selepas melancarkan Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @De Dagang, di sini.

Sebanyak 17 Rakan platform digital terlibat bagi menjayakan Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ De Dagang.

Program yang dilaksana menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu menawarkan promosi dan insentif mampu beli kepada rakyat Malaysia bermula hari ini sehingga Disember 2022.

Pengguna boleh mendapatkan diskaun sehingga 20% menerusi platform E-dagang seperti Bizapp, Shopee dan Kravve.


(Pelancaran Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @De Dagang disempurnakan
MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa di Shah Alam hari ini)

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu kerugian akibat kerosakan landskap yang di tanggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL selepas sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 menyeru agar semua pihak menggalas tanggungjawab menjaga kelestarian landskap di masa hadapan.

"Untuk panduan akan datang, bila ada program keramaian, kita semua ambil tanggungjawab harta kerajaan, itu harta kita juga. Kalau rosak, kita kena berbelanja duit kita juga tapi saya faham bila dah beratus ribu orang yang hadir, ada rumput yang mati, pasu bunga yang tumbang dan sebagainya. Apa pun yang penting rakyat kita gembira," tambah Annuar.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merekodkan kerugian sebanyak RM700,000 ekoran pokok hiasan yang rosak pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu.

Media Baharu