fb fb fb fb fb

Pelajar OKU, guru pendidikan khas akan diberi perhatian -Fadhlina

(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bergambar bersama Senator Dewan Negara Datuk
Ras Adiba Radzi dan delegasinya selepas mengadakan pertemuan di Kementerian
Pendidikan/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 18 Januari- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan untuk memastikan pelajar orang kurang upaya (OKU)  dan guru pendidikan khas diberi perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Perkara itu dinyatakan menteri pendidikan kepada Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika Presiden Persatuan OKU Sentral itu mengadakan kunjungan hormat terhadap Fadhlina di KPM di sini.

Ras Adiba berkata antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat itu ialah mengenai pembinaan Sekolah Sukan OKU, menambah baik fasiliti di sekolah pendidikan khas, menambah bilangan ahli terapi cara kerja dan ahli terapi pertuturan di KPM.

“Alhamdulillah menteri (Fadhlina) berbesar hati menerima kunjungan saya untuk mendengar beberapa cadangan berkaitan komuniti OKU. Beliau mengalu-alukan kunjungan ini dan akan sentiasa mengikuti perkembangan OKU,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat itu.

Ras Adiba berkata beliau secara peribadi yakin Fadhlina mampu melaksanakan pelbagai pendekatan serta inisiatif terhadap pendidikan OKU di negara ini.


(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama Senator Dewan Negara Datuk Ras Adiba Radzi semasa
mengadakanpertemuan di Kementerian Pendidikan/BERNAMA)

“Saya lihat banyak yang dilakukan untuk perkasa pelajar termasuk golongan OKU dan tenaga pengajar di sekolah pendidikan khas," katanya.

Fadhlina yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Disember lepas telah mengadakan lawatan ke institusi pendidikan OKU seperti Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy di Johor. -BERNAMA

 

Media Baharu