KUALA LUMPUR, 18 Januari- Malaysia akan meneruskan usaha memastikan negara menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kementeriannya akan menangani isu birokrasi dalam proses permohonan permohonan syarikat antarabangsa atau tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di negara ini.
KPDN akan meliberisasikan polisi dasar penyertaan asing dalam sektor perdagangan di Malaysia, menjadikannya lebih mesra pelabur.
“Kita pendekkan sebarang isu-isu birokrasi supaya mereka yang datang untuk mendapatkan kelulusan itu selesa dan ini akan menggamit pertumbuhan ekonomi yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan bakeri Kafe Paris Baguette di pusat membeli belah Pavilion di sini.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub)
Tambahnya, KPDN telah meluluskan 360 permohonan pelabur asing dan sektor perniagaan makanan dan minuman merupakan penyumbang tertinggi.
Katanya, jumlah terkumpul modal berbayar dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun 2021 adalah sebanyak RM8.952 bilion dan syarikat dari Korea Selatan antara pelabur paling banyak.