fb fb fb fb fb

Pelajar Malaysia raih pingat perak dalam iGeo 2023

(Dari kiri; Encik Hanif Haron, Anna Wong Shi Na, Siti Jalilah binti Malek Rizal, Yee
Sue Wei, and Hee Wen Kai, dan Cik Nurul Syalwana/Foto ArdentEdu)

BANDUNG, 17 Oktober -Seorang pelajar tingkatan empat, dari SMJK Sam Tet, Ipoh Hee Wen Kai berjaya mengarumkan nama negara, apabila meraih pingat perak dalam Olimpiad Geografi Antarabangsa (iGeo) 2023, berlangsung di Bandung, Indonesia, baru-baru ini.

Wen Kai menduduki tempat ke-33 daripada keseluruhan 177 peserta dari seluruh dunia, sekali gus mencerminkan kebolehan dan semangat generasi muda dalam bidang geografi.

Ini merupakan penyertaan pertama Malaysia dalam iGeo 2023, pertandingan tahunan yang menyatukan pelajar geografi berumur 16 hingga 19 tahun terbaik dari seluruh dunia.

iGeo pertama kali diadakan pada tahun 1996 di Den Haag, Belanda, hanya disertai lima negara.

Tahun ini, pasukan Malaysia yang diwakili Ardent Educational Consultants Sdn Bhd (ArdentEdu), telah menghantar empat pelajar untuk bersaing secara individu dan kumpulan di peringkat antarabangsa.

Mereka ialah Yee Sue Wei, 16 tahun, Siti Jalilah binti Malek Rizal (18), Anna Wong Shi Na (17), dan Hee Wen Kai (16) dipimpin ketua pasukan Hanif Haron dan Cik Nurul Syalwana Mohd Shabaruddin.

Setiap tahun, iGeo dihoskan di negara yang berbeza, bagi memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka geografi dalam konteks global.

Berkongsi mengenai pengalaman pasukan Malaysia dalam iGeo pada tahun ini, Wen Kai menyifatkan pengalaman hampir setahun dalam program ini memberi banyak kelebihan dan dalam banyak perkara yang tidak pernah dia bayangkan sebelum ini.

Pengalaman tersebut merangkumi persediaan untuk pertandingan, memerluakan pasukannya menyertai pertandingan peringkat kebangsaan iaitu MyESO dan kem persediaan sebelum ke Bandung.

“Persediaan tersebut termasuklah menjawab soalan-soalan dari tahun-tahun lepas dan membaca bahan bacaan yang diberikan oleh penyelia kami, Dr. Mariney. Saya merasakan kertas-kertas soalan tersebut sangat membantu dalam menunjukkan teknik menjawab soalan dan bagaimana menjawab dengan betul bagi mendapatkan markah.”

Bercakap mengenai perancangan pendidikan pada masa hadapan pula, Hee Wen Kai berterus-terang bahawa sebelum ini beliau tidak mempunyai perancangan jelas. Namun menerusi latihan persediaan iGeo dan pertandingan iGeo itu sendiri, minat beliau bercambah dalam bidang sains pertanian.

Sementara itu, ArdentEdu, selaku sekretariat tetap pertandingan ini berharap agar pencapaian pasukan Malaysia dalam penyertaan sulung ini akan membuka lebih banyak peluang dalam pembelajaran geografi serta pengetahuan geosains di Malaysia, seterusnya memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk mengejar minat mereka dalam bidang ini.


(Hee Wen Kai - penerima pingat perak bagi iGeo 2023/Foto ArdentEDU)

Media Baharu