GREECE, 17 Oktober- Pasukan Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih tempat pertama keseluruhan dalam pertandingan antarabangsa Olimpiad Ekonomi Antarabangsa (IEO) 2023 dari 49 buah pasukan sekolah menengah dari seluruh dunia di Volos, Greece.
Kejaayan itu diperoleh menerusi seksyen Perniagaan bagi (Kajian Kes).
Pasukan tersebut terdiri daripada lima peserta iaitu Ashwin Asokan, 19 tahun, Alexander Chen (18), Senthalini (20), Thamini (18), dan Julius Lee Jun Tao (17).
Kesemua mereka bawah pimpinan Hamidi A Razak selaku ketua pasukan dan Nor Najia.
Portfolio yang dipegang Hamidi selaku Ketua Pegawai Risiko (CRO) Bank Muamalat dan Profesor Adjung di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) memberikan tiket kepada kumpulan Malaysia untuk terus cemerlang dalam pertandingan itu.
"Pasukan Malaysia mengulangi kejayaan pada tahun 2018 apabila berjaya menjuarai kategori Kajian Kes Perniagaan, menewaskan 46 buah negara yang bertanding," katanya di sini.
(Pasukan Malaysia keseluruhan dalam pertandingan antarabangsa IEO di Greece)
Hamidi terus positif berkenaan prestasi pasukan Malaysia dalam IEO pada tahun ini apabila Alexander Chen dan Senthalini diumumkan sebagai pemenang pingat perak manakala Julius Lee Jun Tao, Thamini, dan Ashwin Asokan memenangi pingat gangsa dalam pertandingan individu.
Pelajar dari Kolej Methodist Kuala Lumpur Thamini berkata, "walaupun ada tiga orang daripada ahli kumpulan kami dalam keadaan tidak sihat, namun kami tetap melakukan yang terbaik dan berjaya mendapat tempat pertama bagi cabaran tersebut, menjadikan pembentangan yang amat mendebarkan itu berbaloi."
Bagi pelajar Sunway College Ashwin Asokan menyifatkan penyertaan dalam IEO tahun ini lebih menyeronokkan.
"Saya berpeluang untuk menyertai lawatan ke tempat-tempat menarik di Greece, berkenalan dan berbual dengan peserta lain dari seluruh dunia, dan juga membina hubungan baik dengan rakan sepasukan. Ini adalah perkara-perkara yang sangat sukar untuk dirasai dalam persekitaran dalam talian," katanya.
Hamidi berharap peserta dalam pasukan Malaysia akan terus berjaya pada masa depan dan berharap IEO terus menjadi platform untuk memupuk bakat-bakat baru dalam pasaran kewangan.