Pelajar Malaysia di Asia Barat digesa daftar dengan kedutaan atau Education Malaysia

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyerahkan bantuan kasih ramadan yayasan perkasa siswa kepada para pelajar pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan @ Universiti Malaysia Kelantan 2026 hari ini. / Foto BERNAMA

BACHOK, 2 Mac – Kerajaan menggesa mana-mana pelajar Malaysia di negara Arab yang melanjutkan pengajian secara persendirian dan belum berdaftar dengan pihak kedutaan atau Pejabat Pendidikan Malaysia (EM), supaya tampil berbuat demikian dengan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar Malaysia di negara Arab yang belajar secara persendirian digesa daftar segera dengan kedutaan atau Education Malaysia.
  • Pendaftaran penting agar kerajaan dapat susun pelan tindakan menyelamat jika situasi menjadi lebih kritikal.
  • Tiada pemintaaan rasmi pemulangan setakat ini, tetapi pemantauan oleh Education Malaysia sedang dijalankan.
  • Kerajaan tidak membezakan pelajar; keselamatan mereka adalah keutamaan dalam situasi kecemasan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi memudahkan pihak kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat sekiranya keadaan bertambah kritikal.

“Setakat ini belum ada permintaan rasmi daripada pelajar Malaysia untuk dibawa pulang, namun pemantauan berterusan sedang dilakukan oleh EM,” katanya dalam sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Beliau berkata seruan itu bukan hanya tertumpu kepada pelajar yang berdaftar dengan EM, tetapi turut melibatkan pelajar yang berada di luar negara secara persendirian dan tidak berdaftar secara rasmi.

“Seperti yang kita ketahui ada di negara negara tertentu mereka pergi secara pesendirian walaubagaimanapun kita tidak diskriminasi pelajar-pelajar kita.

“Kita mohon kepada mereka dengan keadaan suasana konflik sebegini saya menyeru mereka datang memaklumkan kepada pihak kedutaan, kita mempunyai Education Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan membezakan mana-mana pelajar dalam situasi kecemasan kerana keselamatan mereka adalah keutamaan.