fb fb fb fb fb

Pelajar kolej maut, motosikal terbabas

Foto Facebook Polis Daerah Kuala Langat

SHAH ALAM, 26 Jun - Seorang remaja 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer 32 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, kira-kira pukul 5.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian mangsa yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Banting mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong, Kuala Langat dari arah Telok Datok menghala ke Banting, berada di tengah-tengah antara lorong kanan dan kiri sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kanan.

"Kemudian sebuah lori tanpa muatan sedang bergerak di lorong kanan telah melanggar penunggang dan motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah lori serta digilis tayar belakang sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Akmalrizal berkata siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar ketika kejadian.

Beliau berkata pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan dan waris mangsa serta saksi bebas telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF