KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang di laut berhampiran perairan Kuala Nerus memasuki hari kedua, diteruskan hari ini.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, operasi pencarian mangsa bermula seawal pukul 7.00 pagi tadi dengan penugasan bot Penggalang 45 dan helikopter AW 139.
"Tumpuan pencarian adalah di sekitar perairan Pulau Bidong, lokasi yang sering dikunjungi mangsa untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.
"Maritim Malaysia turut menubuhkan Pangkalan Hadapan CARILAMAT di Jeti Tok Jembal bagi menyelaras gerakan pencarian serta menerima sebarang maklumat daripada komuniti setempat secara terus," katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, mangsa Mohd Noor Abdullah, 54, dipercayai keluar menangkap ikan seorang diri dari Jeti Tok Jembal, Kuala Nerus, sekitar pada pukul 2.00 petang pada Selasa, namun sehingga petang semalam beliau masih belum pulang ke rumah dan gagal dihubungi.
Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat keluar ke laut dengan memakai baju berwarna coklat dan seluar hitam.
"Setakat ini, tiada petunjuk ditemukan berhubung lokasi mangsa, dan pihak Maritim Malaysia sedang giat meneruskan usaha pencarian di laut dengan mengambil kira faktor cuaca dan arus semasa," menurut kenyataan itu.
Orang ramai terutama komuniti nelayan diminta untuk turut bekerjasama dan segera menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terlihat bot atau kelibat mangsa.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-622 4357 atau kecemasan 999 bagi membantu kelancaran operasi.