fb fb fb fb fb

Pelajar cemerlang SPM terima anugerah YTSP

KANGAR, 8 Mac- Seramai 27 pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 diraikan dalam Majlis pengurniaan anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Ia membabitkan anugerah cemerlang, anugerah kepujian dan anugerah khas.

Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus berkata, pengiktirafan tersebut adalah sumbangan kecil yang berimpak besar kepada pelajar untuk terus mengekalkan momentum cemerlang dalam bidang akademik.

Anugerah YTSP mula diperkenalkan sejak tahun 1991 dan sehingga 2021, seramai 216 pelajar telah menerima anugerah tersebut yang mendapat kerjasama erat Jabatan Pendidikan negeri bagi menghargai pencapaian setiap pelajar.

Anugerah yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan motivasi pelajar di Perlis untuk sama-sama berusaha mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian Perlis sebagai sebuah negeri yang melahirkan pelajar berkualiti dan bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Pengurniaan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang berlangsung di sebuah hotel.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengurniakan anugerah tersebut.

(Antara pelajar cemerlang SPM yang menerima anugerah)

Dalam majlis tersebut, Nurhani Thaqifah Zulkifli dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dan Muhammad Danial Zainudin dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen dikurniakan Anugerah Cemerlang YTSP Perlis.

Majlis tahun ini turut diperkenalkan Anugerah Tunas Harapan YTSP yang diberikan kepada Sharly Hakimy Hamdan yang cemerlang dalam Asian Youth Chess Player dan Muhammad Annas Farish Annas Shukhairy yang kini berada di ranking nombor 1 ‘Malaysia Junior Tennis Player'.

Media Baharu