fb fb fb fb fb

Pelaburan GDS: Manfaat Johor dari segi pemindahan teknologi, kemahiran tenaga kerja

JOHOR BAHRU, 3 Oktober- GDS Holdings Ltd, syarikat peneraju pembangunan pusat data berprestasi tinggi dari China, sedang melaksanakan projek fasa satu pusat datanya di Nusajaya Tech Park yang bernilai RM1.38 bilion.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, beliau berpeluang berjumpa dengan delegasi GDS Holdings Ltd, syarikat pusat data terbesar di China, di sini hari ini.


(Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi / Foto Fb Onn Hafiz)

"Tindakan GDS melabur di sini antara lain akan memanfaatkan Johor dari segi pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran tenaga kerja," katanya.

Onn Hafiz berkata,GDS juga akan membawa masuk ekosistem atau rantaian bekalan pusat data ke Johor, selain sedang merancang untuk mengadakan persidangan teknologi di sini.

Ini sekali gus akan menaikkan lagi profil Johor sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi serantau.

"Projek fasa pertama pusat datanya di Nusajaya Tech Park yang bernilai RM1.38 bilion ini dijangka siap untuk beroperasi pada Jun tahun depan, manakala bangunan kedua dan ketiga adalah pada suku ke-3 dan suku ke-4 2023," katanya.

Antara yang hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan & Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han, Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir, Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin, Chief Executive Officer GDS, William Huang.

Media Baharu