fb fb fb fb fb

Anwar hargai keberanian Presiden Maldives dalam isu Palestin

Dr Mohamed Muizzu dan Anwar Ibrahim semasa sidang media bersama di Putrajaya hari ini bersempena lawatan rasmi Muizzu ke Malaysia selama empat hari/PMO

PUTRAJAYA, 28 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keberanian Presiden Maldives Dr Mohamed Muizz berhubung pendirian tegas negara itu terhadap isu Palestin termasuk keputusan tidak mengiktiraf Israel dan melarang kemasukan individu yang memegang pasport Israel.

Anwar menyatakan langkah itu selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan keadilan sejagat sambil menegaskan Malaysia berkongsi sentimen dan inspirasi yang sama dalam isu tersebut.

"Kami berkongsi sentimen dan inspirasi yang sama, dan saya telah menyatakan, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, bahawa kami sangat menghormati keberanian Presiden Muizzu atas prinsip yang beliau pegang," katanya semasa sidang media bersama Presiden Muizzu hari ini bersempena lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari yang bermula semalam.

Selain itu, kedua-dua negara turut mengenal pasti beberapa bidang baharu untuk diterokai bersama termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan pendigitalan.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu adalah sebahagian usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Maldives ke tahap lebih tinggi dengan fokus pada pembangunan mampan serta kerjasama dalam teknologi dan keselamatan serantau.

Lawatan Muizzu ke Malaysia buat kali pertama sejak beliau menjadi presiden pada November 2023 itu, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SITI AISHAH MD ISA