Pekerja gig berhak berpersatuan, boleh diwakili dalam rundingan damai

KUALA LUMPUR, 16 Oktober-Pekerja sektor gig berhak untuk berpersatuan dan boleh diwakili dalam prosiding rundingan damai bagi mempertahankan kepentingan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pekerja gig berhak berpersatuan dan boleh diwakili dalam prosiding rundingan damai.
  • Ahli keluarga dalam profesion sama boleh mewakili pekerja gig semasa mediasi di tribunal.
  • Dinasihatkan agar pekerja gig menubuhkan persatuan berkaitan pekerjaan untuk memperjuangkan hak.
  • Kesatuan tradisional belum dibenarkan untuk sektor gig, tetapi persatuan seperti PERFIMA diiktiraf.
  • RUU Pekerja Gig 2025 dibincangkan dengan pengamal media bebas bagi menambah perlindungan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan pekerja sektor itu juga boleh diwakili oleh ahli keluarga yang bekerja dalam profesion yang sama, semasa sesi mediasi pertikaian di Tribunal Pekerja atau Majlis Rundingan (Majlis Tripartit).

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar pekerja gig menubuhkan persatuan yang berkait rapat dengan pekerjaan mereka agar mempunyai kumpulan yang dapat memperjuangkan hak masing-masing sekiranya berlaku pertikaian.

Tambahnya, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) telah memohon kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Selangor pada Oktober untuk memasukkan pekerja gig di bawah platform pengamal media bebas ke dalam kesatuan mereka.

“Dalam Akta, termaktub bahawa pekerja gig mempunyai hak untuk berpersatuan. Persatuan yang mewakili pekerja gig boleh bertindak bagi pihak mereka, contohnya dalam rundingan secara damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan (IR Department).

“Bagaimanapun, pada masa ini, kesatuan pekerja bagi sektor gig tidak dibenarkan, tetapi mereka masih boleh menubuhkan persatuan. Terdapat beberapa persatuan seperti PERFIMA yang diiktiraf dan boleh mewakili pekerja gig,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi taklimat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bersama pengamal media bebas di ibu negara.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.