fb fb fb fb fb

Pekebun kecil, pengilang sawit diseru rebut peluang bangunkan industri biogas

Foto KPK

KUALA LUMPUR, 25 April- Pekebun kecil dan pengilang sawit diseru untuk mengambil peluang menyertai dan membangunkan industri biogas negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam kenyataan berkata industri berkenaan menyediakan pelbagai manfaat dan nilai tambah termasuk peluang kerjaya, menjana pendapatan tambahan selain pengurusan sisa sawit yang lebih cekap.

Ini sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

"Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, Malaysia menekankan pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) di semua peringkat penghasilan produk sawit bagi pengurusan sisa yang lebih baik.

Pemerangkapan biometana daripada sisa industri sawit seperti efluen kilang kelapa sawit (Palm Oil Mill Effluent - POME) dapat digunakan sebagai salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan elektrik," kata kenyataan itu.

Menurut beliau, sebanyak 63.5 juta tan POME dihasilkan pada 2022 yang berpotensi menjana sehingga 1.22 gigawatt (GW) tenaga setahun, sekali gus dapat dimanfaatkan untuk penjanaan elektrik ke grid nasional, penghasilan stim, bioCNG atau disalurkan ke grid gas nasional.

Setakat Disember 2024, sebanyak 170 daripada 446 kilang sawit telah dilengkapi sistem pemerangkapan biogas, melepasi sasaran Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2025 iaitu 155 kilang, dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 4.9 juta tan karbon dioksida (CO₂).

Tambah beliau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah memperuntukkan 190 megawatt (MW) kuota Feed-in Tariff (FiT) bagi tahun 2025 termasuk 50MW bagi projek biogas dan 40MW untuk biojisim.

Justeru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) diseru agar mempertingkat kapasiti sambungan grid bagi memudahkan pelaburan oleh pengilang sawit.

Terdahulu, Datuk Seri Johari mengadakan lawatan kerja ke Loji Biogas Cenergi Sua Betong, Port Dickson, hari ini.

Cenergi merupakan salah satu syarikat penyedia penyelesaian tenaga mampan negara yang mengkhusus dalam membangunkan industri hijau negara.

"Cenergi mempunyai 20 loji biogas yang sedang beroperasi seluruh negara dan 12 loji lagi sedang dalam pembinaan dengan jumlah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 52.8MW dan kapasiti bioCNG sebanyak 65,000MMBtu," jelas kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM