KUALA TERENGGANU, 25 April- Sebanyak 25 ekor kerbau mati akibat dijangkiti penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah di Kuala Terengganu, sejak 7 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan kes kematian ternakan itu dikesan di Kampung Dusun Tembakau, Manir.
Ternakan tersebut disahkan positif hawar berdarah Isnin lalu, hasil bedah siasat dan sampel yang diambil.
Beliau berkata tindakan kawalan dan pencegahan telah diambil termasuk mengeluarkan notis arahan kuarantin mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953 dan diserahkan kepada penternak, semalam.
Surat makluman larangan pemindahan keluar dan masuk lembu atau kerbau dari beberapa kampung yang terlibat telah dikeluarkan bagi mengekang penularan penyakit ini dalam lingkungan lima kilometer daripada lokasi wabak.
"Oleh itu, pemindahan keluar dan masuk ternakan lembu/kerbau dari lokasi tersebut TIDAK DIBENARKAN kecuali bagi tujuan ke rumah sembelih, Gong Badak, Kuala Nerus (Rumah Sembelih Jabatan) dan Rumah Sembelih Swasta Berlesen kepunyaan Jusoh Tok Rimau, Kuala Terengganu Sahaja", katanya menerusi kenyataan di Facebook.
"Larangan ini berkuatkuasa serta merta bermula 24 April 2025 hingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
Larangan tersebut melibatkan tujuh mukim di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.