fb fb fb fb fb

Pengiktirafan berterusan, Malaysia sekali lagi dilantik Ahli Majlis Pentadbir SIAP

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 25 April– Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan apabila dipilih semula sebagai Ahli Majlis Pentadbir Statistical Institute for Asia and the Pacific (SIAP) bagi penggal 2025 hingga 2027.

Perkara itu dilakukan menerusi proses pengundian berlangsung sempena sesi Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) ke-81 di Bangkok, Thailand yang dianggotai 53 negara di
rantau Asia Pasifik.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pemilihan itu menandakan Malaysia terus dipilih pada penggal kedua berturut-turut negara sebagai ahli majlis tersebut selepas penggal 2023–2025.

"Malaysia menerima sokongan padu dan undian memberangsangkan daripada negara anggota rantau Asia dan Pasifik.

"Bersama Malaysia, tujuh lagi negara telah memperoleh undian majoriti untuk mengisi lapan kerusi yang dipertandingkan, iaitu China, India, Mongolia, Filipina, Korea Selatan, Thailand dan Pakistan," menurut Mohd Uzir dalam satu kenyataan.

Pelantikan semula tersebut mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap peranan aktif serta sumbangan signifikan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem statistik di peringkat serantau dan global, khususnya menerusi kepimpinan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia juga dilihat akan membuka ruang strategik untuk Malaysia terus memperluas jaringan kerjasama, memperkasa pembangunan kapasiti statistik dan menyumbang secara lebih aktif kepada agenda statistik serantau dan antarabangsa.

Pelantikan semula Malaysia pada tahun 2025 ini juga amat bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, yang membawa tema "Inclusivity and Sustainability".

Penyertaan aktif dalam SIAP akan memperkukuh peranan Malaysia dalam memperjuangkan statistik yang inklusif, memacu dasar berasaskan data, serta menyokong pembangunan mampan di peringkat serantau.

Dalam pada itu Mohd Uzir akan terus mewakili negara sebagai ahli Majlis Pentadbir SIAP dan beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk terus menyokong agenda SIAP secara aktif.

Malaysia juga akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem statistik negara dan serantau, menyokong dasar berasaskan data, memodenkan statistik melalui penerapan transformasi digital, data raya dan
kecerdasan buatan (AI), serta membangunkan modal insan berkemahiran melalui Institusi Latihan Statistik Malaysia (ILSM).

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua ahli majlis yang telah dipilih serta penghargaan yang tidak terhingga kepada negara-negara anggota atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.

"Malaysia komited untuk terus bekerjasama erat dengan semua ahli majlis dalam memperkukuh pembangunan statistik yang inklusif dan mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), mempertingkat tadbir urus data, dan memperluas kerjasama strategik di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif SIAP," tambah kenyataan itu.

Sepanjang penggal terdahulu, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan sebagai ahli Majlis Pentadbir SIAP, malah telah diberikan mandat untuk mempengerusikan Mesyuarat Governing Council ke-18 dan ke-19 bagi dua tahun berturut-turut (2022 dan 2023).

Pada tahun 2023, Malaysia turut menjadi tuan rumah bagi 19th Session of the Governing Council of the Statistical Institute for Asia and the Pacific serta 18th Management Seminar for the Heads of National Statistical Offices in Asia and the Pacific: Fundamental Principles of Official Statistics (FPOS) yang telah berlangsung di Kuala Lumpur.

Selain itu, DOSM juga telah menganjurkan Training of Trainers Workshop on Quality of Statistics for Sustainable Development Goals (SDGs) di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Perak dengan kerjasama SIAP dan United
Nations Statistics Division (UNSD).

DOSM turut aktif menyumbang kepada pelbagai inisiatif ESCAP dan SIAP dalam usaha memajukan pembangunan kapasiti statistik serantau, termasuk melalui penyediaan kepakaran teknikal, pembangunan garis panduan statistik rasmi, serta pelaksanaan pelbagai latihan dan bengkel di peringkat rantau.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI