GEORGE TOWN, 25 April- Polis berjaya mengenal pasti suspek yang dipercayai menjadi punca kepada kemalangan maut melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian itu memaklumkan ia berlaku kira-kira pukul 5.15 petang di Jalan Masjid Negeri di sini menghala ke Jambatan Pulau Pinang melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, kereta dan dua buah motosikal.
Dalam kejadian terbabit, mangsa menaiki motosikal dari Batu Lanchang hendak menuju ke Gelugor sebelum motosikal lain dari arah kiri telah terlanggar motosikal mangsa.
Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya akibat bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan lalu terlanggar sebuah lori di sebelah kiri jalan.
Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang namun mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital itu kira-kira pukul 6.09 petang.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu polis meminta saksi kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan pihak Polis.
Terdahulu, tular di media sosial video rakaman kamera papan pemuka mengenai kejadian terbabit memaparkan mangsa yang menaiki motosikal dilanggar motosikal lain sebelum sebuah lori melanggar mangsa.