fb fb fb fb fb

87 pelajar orang asli cemerlang SPM terima biasiswa penuh, lanjut pengajian ke IPMA

Foto Facebook Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

TAPAH, 24 April- Seramai 87 pelajar orang asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2024 akan menerima biasiswa penuh bagi melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) (IPMA).

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, pelajar orang asli yang memperoleh keputusan 5A ke atas layak menerima tajaan penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyambung pengajian.

Antara institusi terlibat termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Malaysia-German Institute, serta institusi lain di bawah MARA.

"Tawaran ini tidak ada kena-mengena dengan Pilihan Raya di Ayer Kuning. Ia bukan untuk orang Ayer Kuning sahaja, tapi untuk anak-anak orang asli di seluruh negara.

"Oleh kerana MARA di bawah Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), adalah munasabah untuk meletakkan mereka di institusi di bawah MARA. Bagi yang berkelulusan 5A ke bawah, saya juga telah minta Pengerusi MARA cari jalan untuk disalurkan ke mana-mana institusi MARA juga", katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Keroh, Ayer Kuning, Perak.

Kerajaan turut memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk anak-anak orang asli sebagai usaha memperkasa masa depan komuniti itu.

Dalam masa sama, pindaan Akta Orang Asli sedang dipercepatkan bagi menjaga kebajikan menyeluruh masyarakat tersebut.

ROSLINA BINTI DIN