fb fb fb fb fb

Pekan Sungai Lembing penanda aras banjir daerah Kuantan

KUANTAN, 16 Disember- Saban tahun Pekan Sungai Lembing, Kuantan akan dilanda banjir, malah kawasan terbabit dijadikan sebagai penanda aras banjir bagi daerah Kuantan.

Setakat ini pekan kecil itu masih terselamat daripada musibah banjir, namun penduduk tetap berada dalam keadaan berwaspada dengan sebarang perubahan cuaca dan akan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila siren amaran dibunyikan.

Bagi seorang pesara, Abdul Rahim Ali, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau sekeluarga untuk membuat persiapan seperti penyediaan stok barang makanan, dokumen-dokumen penting dan keselamatan peralatan elektrik, setiap kali tiba bulan Disember.

"Sungai Lembing ini banjir macam satu kemestianlah sama ada kecil ataupun besar mesti berlaku banjir dan penduduk di Sungai Lembing pun sudah faham situasi ini .

"Mereka pun dah sama-sama bersedia dengan kesiapsagaannya dan dengan tempat untuk berpindah yang disediakan oleh kerajaan. Barang-barang makanan yang dihantar oleh pihak agensi kerajaan pun dah siap, cuma masyarakat di sini kena patuhlah arahan daripada pihak pihak kerajaan" kata Abdul Rahim kepada media di sini.

Bagi peniaga makanan, Safiah Mat Ali, walaupun sudah terbiasa dilanda banjir, beliau tetap berwaspada setiap kali berlaku hujan lebat.

"Kita harap kali ini banjir tidak akan berlaku malam lagilah sebab menyukarkan kita orang semua. Maknanya cuma kita tunggu arahan daripada siren pihak polis sajalah, kita akan bertindaklah mengemas barang-barang. Tapi sekarang ni pun kita sudah berjaga-jaga," katanya.

(Foto hiasan)

Menceritakan saat cemas dihadapi ketika banjir awal tahun ini, seorang pengusaha kedai runcit, Loguhim Elly Gintes berkata beliau hampir lemas kerana cuba menyelamatkan barangan di kedainya yang dinaiki air dengan tiba-tiba.

Sebagai persiapan tambahan bagi tahun ini, beliau telah membeli tangki plastik untuk menyimpan barangan di kedainya.

"Kali ini saya tidak tempah barang begitu banyak. Saya tempah keperluan saja tapi masih lagi ada barang-barang kalau boleh sempat saya akan bawa naik semua lepas itu saya ada beli tangki untuk persedian yang paling penting.

"Pasal saya tak boleh angkat atas semua, pasal itu satu tingkat saja sini lagi tangga tu guna tangga kayu jadi saya sediakan tangki juga untuk letakkan barang itu. Biar kalau air separas sembilan kaki saja dia masih boleh selamat tapi kalau sampai siling tu tidak boleh buat apa juga," katanya.

Menurut penduduk di Sungai Lembing, antara yang menjadi kerisauan mereka adalah apabila pekan itu terputus hubungan dan menyebabkan bekalan makanan lambat diterima.

(Sungai Lembing/Wikipedia)

Media Baharu