fb fb fb fb fb

Peguam syarie perlu kuasai undang-undang sivil - Raja Muda Perlis

(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)

KANGAR, 13 Oktober- Peguam syarie disaran bukan sahaja perlu menguasai ilmu perundangan berkaitan undang-undang syariah tetapi juga undang-undang sivil.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia dilihat penting kerana sesetengah isu yang diputuskan di Mahkamah Syariah mempunyai kaitan dengan undang-undang sivil seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.
 
Penguasaan ilmu perundangan yang tidak terhad kepada undang-undang syariah sahaja antara empat perkara digariskan baginda kepada peguam syarie dalam tugasan membantu pihak memerlukan khidmat nasihat perundangan dan perwakilan di Mahkamah Syariah.

"Perkara kedua, peguam syarie perlu bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan dalam melaksanakan tugas dan peranan seperti dituntut oleh agama serta mematuhi Etika Peguam Syarie di bawah Arahan Amalan Mahkamah Syariah N0.4 Tahun 2002.

"Ketiga, memfokuskan penyelesaian sesuatu kes dalam tempoh masa yang singkat tanpa meminggirkan prinsip keadilan,” titah baginda pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis 2023 di sini hari ini.

Raja Muda Perlis bertitah yang keempat, peguam syarie memelihara kerahsiaan kes anak guam supaya tidak terdedah kepada umum dan pihak media yang boleh membawa kepada fitnah.

"Ia selaras dengan penguatkuasaan Arahan Ketua Hakim Syarie Bilangan 1 Tahun 2023 berkenaan Pendengaran Kes Perceraian Secara Tertutup di Mahkamah Syariah Negeri Perlis mulai 1 Julai 2023,” titah baginda.


(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin bersama 31 orang peguam syarie ditauliahkan
berfoto selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis 2023 di sini, hari ini)

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah berharap semua peguam syarie mengutamakan kepentingan keadilan dan menjunjung prinsip integriti dalam menjalankan tugas supaya imej agama Islam dan kehormatan profesion itu kekal terpelihara.

Seramai 31 orang peguam syarie ditauliahkan pada tahun ini sekali gus menjadikan Perlis mempunyai 140 orang peguam syarie.



 
 

Media Baharu