PUTRAJAYA, 22 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyusun semula jadual rondaan di sekolah seluruh negara mengikut keperluan dan keutamaan mengambil kira kes-kes disiplin direkodkan termasuk ponteng, gengsterisme serta pengaruh negatif media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM juga akan mempertingkat rondaan bagi memastikan keselamatan pelajar di sekolah terutama yang dikenal pasti berisiko.
"Langkah ini adalah susulan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini. Sebelum ini memang sudah dilakukan rondaan. Namun Kementerian Dalam Negeri diminta meningkatkan kekerapan rondaan (polis) ke sekolah," jelasnya pada sidang media Simposium Penagihan Dadah Sains Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
PDRM juga katanya akan memperhebat penglibatan secara langsung dalam aktiviti sekolah seperti ceramah atau taklimat keselamatan ketika perhimpunan mingguan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan simposium anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu platform penting memperkukuh strategi negara dalam menangani isu dadah secara saintifik dan berasaskan bukti.
"Saya tekankan agar beberapa perkara diperkemas lagi termasuk membuat pelan komunikasi dalam usaha menangani ancaman dadah secara gerakan massa (besar-besaran).
"Ia mesti melibatkan penyertaan menyeluruh dalam kalangan semua pemegang taruh dalam usaha mencapai Ddaah Terkawal 2030," jelasnya.
Bertemakan 'Masyarakat MADANI Bersama Membasmi Dadah', simposium tersebut menghimpunkan penyelidik, penggubal dasar, penguat kuasa, ahli akademik serta badan bukan kerajaan untuk berkongsi pandangan dan dapatan terkini berkaitan pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah.
Sebanyak sembilan pakar tempatan membentangkan sepuluh kertas kajian meliputi bidang rawatan, pencegahan dan penguatkuasaan, termasuk 'Realiti Baharu Dadah: Naratif Nasional ke Pentas Global' oleh AADK dan 'Perspektif Forensik dalam Fenomena Dadah dan Bahan' oleh Jabatan Kimia.