PUTRAJAYA, 22 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap penyaluran peruntukan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan pembangunan seimbang di seluruh negara.
Justeru beliau mengingatkan agar penyaluran peruntukan kepada mana-mana negeri tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Beliau tegaskan tiada istilah 'anak tiri' dalam pentadbiran Kerajaan MADANI dan setiap keputusan penyaluran peruntukan dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan pembangunan seimbang di seluruh negara.
"Tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai oleh pembangkang di Semenanjung yang mengatakan dianak tiri dan dizalimi kerana kenyataannya berbeza.
"Apa yang Kerajaan MADANI lakukan dalam beberapa tahun ini membuktikan peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu ditambah. Bukan kerana kita pilih untuk tambah, tapi kerana banjir paling parah di Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025, di sini.
Mengulas mengenai peruntukan kepada Sabah, beliau berkata keputusan itu mengambil kira keperluan pembangunan di negeri berkenaan termasuk bagi menambahbaik infrastruktur lebuh raya.
Beliau memaklumkan yang Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah diarah mengumpul semua data yang menunjukkan hasil cukai dari Sabah melibatkan jumlah RM10 bilion.
"Berapa belanja yang kita peruntukkan pada 2025 dan unjuran 2026? RM17 bilion. Ini bukan kerana pertimbangan khusus untuk Sabah, tetapi keperluan membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap, bekalan air yang belum siap (akan siap tahun depan).
"Sabah Electric yang dulunya bawah kerajaan pusat, diserahkan kepada negeri. Tetapi negeri tentu tidak upaya untuk menjana pelaburan awal, maka kerajaan persekutuan walaupun diserah ke negeri, masih membelanjakan RM1.2 bilion," katanya.