fb fb fb fb fb

PBT diminta periksa permit, lesen peniaga asing di Seremban, Nilai - MB Negeri Sembilan

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

SEREMBAN, 5 Oktober- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan tegas terhadap peniaga warga asing di sekitar Seremban dan Nilai yang didapati melanggar pelbagai peraturan ditetapkan, termasuk dari segi permit mahupun lesen perniagaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihak imigresen juga perlu meningkatkan lawatan berkala di premis perniagaan di dua bandar berkenaan.

Jelasnya, satu jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim diwujudkan, melibatkan agensi lain terutama dalam menjalankan siasatan menyeluruh mengenai lesen yang dikeluarkan.

"Kadang-kadang mereka ini ada tiga lesen, PBT perlu melihat semula kelulusan yang diberikan supaya kita dapat mengawal peniaga asing ini yang berniaga di sini. Daripada laporan diterima, mereka sebenarnya ada lesen yang sah, dan ada antaranya berniaga secara menyewa.

"Perkara ini yang perlu dikaji oleh jawatankuasa itu nanti bagi menentukan tindakan yang boleh dikenakan. Keadaan ini perlu dikawal supaya tidak terus berkembang, kita mahu mereka menghormati undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Exco di sini.

Ujarnya, jawatankuasa itu akan menetapkan tindakan yang wajar dikenakan terhadap pemegang lesen terbabit.


(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

Media Baharu