fb fb fb fb fb

PBS beri respon awal penyelamatan sebelum bomba tiba

SEREMBAN, 6 Ogos- Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berperanan memberi respon awal dengan melaksanakan langkah penyelamatan sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Abd Rahman Ali berkata pasukan itu juga dilatih dengan kemahiran kebombaan untuk mengendalikan insiden di peringkat komuniti.

Sekiranya berlaku kebakaran, PBS yang telah dilatih boleh melakukan pemadaman api dengan mempraktik prosedur operasi standard JBPM sehingga pasukan keselamatan tiba untuk mengambil alih tugasan.

"PBS ini sebenarnya lebih kepada tindakan awal sebelum pasukan bomba sampai ke tempat kejadian dan kalau mengikut statistik kita memang ada juga PBS yang sampai dahulu dan dia ambil kira sebagai respon time.

"Selain daripada itu PBS juga banyak membantu kita dari segi pelaksanaan pemeriksaan pili-pili bomba yang ada di persekitaran," katanya.

(Abd Rahman Ali menghadiri Program Bomba Komuniti PBS Kampung Batu Tiga Mambau, Seremban hari ini)

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Program Bomba Komuniti PBS Kampung Batu Tiga Mambau, di sini hari ini.

Sebanyak 15 pasukan PBS diwujudkan di peringkat komuniti di Negeri Sembilan, membabitkan penyertaan seramai 850 penduduk.

Media Baharu