fb fb fb fb fb

Amaran hujan berpanjangan, APM Labuan siap siaga

LABUAN, 6 Ogos- Susulan amaran hujan berpanjangan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan menerusi sekreteriatnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan telah bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku di wilayah ini.

Pegawai Pertahanan Awam Labuan, Leftenan Kolonel (PA) Erwin Kinsui berkata, seramai 50 anggota telah bersedia yang boleh digerakkan pada bila-bila masa, serta persiapan dari segi aset darat dan air.

Beliau berkata, petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Labuan sentiasa melakukan pemantauan di beberapa lokasi yang disasarkan berisiko ditimpa bencana.

Tambahnya, Bilik Gerakan Bencana akan diaktifkan sekiranya berlaku bencana banjir yang teruk, di samping persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa berkenaan.

Jelas beliau lagi, empat kawasan menjadi tumpuan yang berisiko tinggi iaitu Kg. Patau-Patau, Kg. Bukit Kalam, Kg. Ganggarak-Merinding dan Kg. Sungai Bedaun.

Selain itu, empat PPS akan beroperasi bagi menempatkan mangsa bencana tersebut.

"Antara PPS yang dibuka ialah yang pertama PPS Jabatan Bomba dan Penyelamat Rancha-Rancah yang boleh menampung 300 orang, kedua PPS Dewan Kompleks MAIWP juga menampung 300 orang, ketiga, PPS Sekolah Agama Lubok Temiang dan keempat, PPS Jabatan Bomba dan Penyelamat Layangan juga boleh menampung 300 orang,"kata Erwin.

Beliau berkata demikian selepas dihubungi oleh pemberita di Labuan.

Dalam pada itu, kesiapsiagaan mengahadapi bencana ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDRM Labuan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan.

Justeru itu, beliau menasihatkan kepada penduduk di pulau ini bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bencana berlaku dengan menyediakan dokumen
serta barang yang penting, ketika mereka dipindahkan ke penempatan sementara.


(Pegawai Pertahanan Awam Labuan, Leftenan Kolonel (PA) Erwin Kinsui)

Media Baharu