fb fb fb fb fb

PAU 2023: Anthony akui sudah 'move on', Shafie jelas kepimpinan negara harus stabil

(Mohd Shafie Apdal dan Anthony Loke)

KUALA LUMPUR, 9 JUN- Saling memaafi, ketepikan segala perbezaan dan sentimen serta terus melangkah ke hadapan merupakan penyelesaian terbaik ke arah menoktahkan permusuhan politik lampau antara parti komponen yang bersatu membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menambah, paling utama adalah semua jemaah menteri di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan perlu saling memperkukuh keakraban serta fungsi dan peranan masing-masing demi terus memacu negara ke arah kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

"Yang penting kita bekerjasama dengan baik. Bukan soal daripada kata-kata tetapi keikhlasan kita bersama, keikhlasan dari segi kerja.

"Keikhlasan kita dari segi kerjasama untuk pastikan fungsi kerajaan pada hari ini berjalan dengan baik. Saya rasa kita perlu menunjukkan kematangan berpolitik, bukan melalui kata-kata tetapi melalui tindakan.

"Kerjasama di peringkat Jemaah Menteri cukup baik, cukup akrab. Jadi saya rasa kita perlu melangkah ke hadapan, kita sudah 'move on' (bergerak) dan tidak perlu lagi ungkit soal perbezaan masa lampau. Jadi, sentimen yang lalu itu, kita padamkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, Malaysia harus berada dalam kepimpinan kerajaan yang stabil, meski berdepan cabaran dinamika politik semasa.

Ke arah itu, terdapat keperluan untuk mencari indikator terbaik yang dapat menjamin serta memenuhi hasrat dan kehendak rakyat secara menyeluruh.

"Paling utama ia adalah titah Raja-Raja Melayu yang menyeru kepada usaha memulihkan ketidakstabilan politik, di samping membangunkan negara demi memastikan rakyat berada bersama-sama kerajaan untuk berkhidmat," katanya di sini.

Kehadiran Anthony Loke dan Mohd Shafie pada PAU 2023 sebagai jemputan khas yang mewakili parti komponen Kerajaan Perpaduan.

(Anthony Loke dan Mohd Shafie Apdal)

Media Baharu