fb fb fb fb fb

Pasukan guaman Malaysia tuntut aktivis Sumud Nusantara dibebaskan

Antara aktivis dan delegasi Sumud Nusantara gagal dihubungi selepas ditahan zionis Israel awal pagi tadi

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Pasukan guaman Malaysia mewakili Sumud Nusantara menuntut tiga perkara daripada Israel susulan serangan Tentera Laut Israel terhadap aktivis yang ditahan awal hari ini ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Antaranya membebaskan segera semua delegasi termasuk aktivis rakyat Malaysia serta aktivis GSF, membayar pampasan serta menghentikan pencabulan kejam termasuk genosid di Gaza yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa.

Peguam Fahmi Abd Moin berkata, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan agresif dan melampau rejim Israel terhadap GSF yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan sejagat.

"Misi flotilla merupakan misi aman dan semata-mata kemanusiaan demi melaksanakan hak kebebasan pelayaran antarabangsa selaras United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) Artikel 87.

"Justeru, tindakan Israel menghalang serta menahan kapal flotilla itu adalah satu pelanggaran nyata undang-undang laut antarabangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fahmi antara lima barisan guaman Malaysia yang tiba di Amman, Jordan pada 1 petang waktu tempatan semalam bagi memastikan aktivis rakyat Malaysia mendapat perlindungan undang-undang secara telus serta adil.

“Saya bersama peguam iaitu Azril Mohd Amin, Dir Kheizwan Kamaruddin, Luqman Mazlan dan Ahmad Nazrin Abu Bakar.

"Tindakan CENTHRA melalui kerjasama rapat dengan pasukan undang-undang hak asasi manusia yang berpengkalan di Israel iaitu The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel’," menurut Fahmi.

CENTHRA turut menegaskan bahawa tindakan Israel bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang flotilla, malah mencabul hak asasi untuk hidup, kebebasan dan keselamatan sebagaimana dijamin oleh International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) Artikel 7 dan 9.

Tambah CENTHRA, sekatan laut Israel ke atas Gaza adalah haram berdasarkan San Remo Manual Artikel 102 kerana ia menjejaskan penduduk awam dan menghalang bantuan kemanusiaan.

"Malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024 menegaskan pendudukan Israel tidak sah, sekali gus menyeru semua negara memastikan pematuhan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri," katanya.

Jelas beliau, sebagai kuasa pendudukan tidak sah, Israel sepatutnya memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan sampai ke Gaza sebagaimana termaktub dalam Konvensyen Geneva Keempat dan Protokol Tambahan I.

"Namun sebaliknya, Israel didakwa terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang, suatu jenayah yang turut menjadi asas waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Benjamin Netanyahu serta Menteri Pertahanan, Yoav Gallant," tegas Fahmi.

Beliau berkata, CENTHRA juga menuntut supaya negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa dan masyarakat sivil tempatan serta global mengambil tindakan segera menghentikan pencabulan Israel termasuk tindakan genosid yang sedang berlaku di Gaza.

Setakat 7.40 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Mereka termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas kapal misi GSF, dengan menegaskan ia menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

GRACE AISYAH KEDAYAN