Pasport, MyKad baharu tingkat ciri keselamatan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 8 Januari — Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal memperkenalkan pasport serta MyKad baharu dengan tambahan ciri keselamatan dokumen selaras keperluan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan pasport dan MyKad baharu dijangka bermula penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini.
  • Dokumen baharu diperkukuh dengan ciri keselamatan untuk tingkatkan integriti dan cegah pemalsuan.
  • Malaysia masih mengekalkan pasport dipercayai, berada di kedudukan tinggi antarabangsa dari segi kemudahan perjalanan.
  • KDN akan mengumumkan pemberitahuan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaan untuk elak permohonan terburu-buru.
  • Pasport sedia ada kekal sah hingga tamat tempoh sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka bermula penghujung suku kedua atau awal suku ketiga tahun ini, selaras hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2026.

Menurut beliau, pasport Malaysia ketika ini berada dalam kelompok terbaik dunia termasuk antara 10 pasport paling dipercayai, diukur berdasarkan kemudahan perjalanan tanpa visa atau dengan keperluan visa minimum ke pelbagai negara.

“Jadi kami ada beberapa sasaran. Itu penting sebab dokumen pasport kita sekarang ini berada di kedudukan ketiga paling dipercayai yang diukur dari sudut pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan kelulusan visa untuk perjalanan.

“Itu kayu ukur yang penting. Semalam saya diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Imigresen berkenaan status kebolehpercayaan pasport kita. Jadi kita akan memiliki pasport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam enam bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di sini.

Bagaimanapun, jelas beliau, setiap dokumen keselamatan mempunyai tempoh penggantian tertentu dan Malaysia kini telah melepasi tempoh yang memerlukan pengeluaran dokumen keselamatan versi baharu bagi memastikan tahap integriti terus terpelihara.

Pasport dan MyKad baharu itu akan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang lebih terjamin khususnya bagi meningkatkan integriti dokumen serta mengekang risiko pemalsuan.

Sehubungan itu, KDN akan membuat hebahan awal kepada orang ramai sekurang-kurangnya enam bulan sebelum pelaksanaannya bagi mengelak orang ramai berpusu-pusu membuat permohonan pasport baharu lebih awal daripada keperluan sebenar.

Datuk Seri Saifuddin turut menegaskan pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga tempoh sah laku tamat, sebelum tarikh kuat kuasa dokumen baharu diumumkan secara rasmi.