fb fb fb fb fb

Pasangan suami isteri ditemui mati dibunuh ahli keluarga sendiri

IPOH, 7 Julai- Sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh.

Mayat, Ng Chun Hon, 64 tahun dan Ooi Tin Lu, 59 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata susulan kejadian tersebut pihaknya kini giat mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Ng Chun Ming yang juga merupakan adik mangsa bagi membantu siasatan.

"Suspek merupakan salah seorang ahli keluarga yang mana telah menghilangkan diri bersama kenderaan milik si mati. Setakat ini, suspek seorang dan kita amat mengharap masyarakat membantu kita mengesan suspek ini kerana suspek pun mempunyai satu rekod jenayah iaitu dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan cedera parah," kata Yahaya Hassan kepada pemberita RTM.


(Pihak polis tiba di lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada ahli keluarga)

Kejadian disedari salah seorang keluarga mangsa yang kemudian melaporkannya kepada pihak polis.

Turut berada di rumah tersebut ibu mangsa yang uzur berumur lingkungan 90-an.

Warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh malam tadi dengan kecederaan parah di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media Baharu