SHAH ALAM, 22 November – Dikenali sebagai anak kepada arwah kartunis terkenal Majalah Ujang, Zainuddin Salleh atau lebih mesra dengan nama pena 'Lengkuas,' pasangan kembar Maisara Batrisyia Zainuddin dan Maisuri Batrisyia Zainuddin mencuri perhatian ramai di Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-100 di sini, semalam.
Kembar seiras berusia 22 tahun itu meraikan kejayaan mereka menggenggam skrol Diploma dalam jurusan Ukur Bangunan dari UiTM Seri Iskandar, Perak.
Dilahirkan hanya selang seminit pada 3 Mei 2002, Maisara dan Maisuri kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sama.
Namun, perjalanan mereka tidak mudah, terutama selepas kehilangan bapa mereka pada 2017.
Kartunis Lengkuas popular dengan karya Mat Despatch majalah Ujang dan Yob Peon majalah Lanun.
“Ayah memang berbakat melukis, dan bakat itu ada juga pada kami. Kawan-kawan ayah pernah bertanya sama ada kami mahu menyambung karya ayah, tapi ketika itu kami terlalu muda untuk memikul tanggungjawab besar itu," katanya ketika mengimbau memori bakat seni arwah bapa mereka.
Kisah mereka menjadi lebih inspirasi apabila mereka mendedahkan cabaran kewangan sebagai anak kepada seorang ibu tunggal.
“Ibu terpaksa bekerja keras menguruskan kami bertiga. Ibu ada bisnes kedai komputer, dan kami bantu mana yang mampu, seperti bekerja sambilan di butik semasa cuti semester,” kata Maisara.
Maisuri menyifatkan dirinya bertuah kerana sentiasa ada sokongan daripada kembarnya.
“Kami saling bergantung antara satu sama lain. Kenangan manis sentiasa ada bila kami buat semuanya bersama-sama, dari tugasan kumpulan hingga berkongsi rumah,” katanya.
Namun, di sebalik semua cabaran, ada momen kelakar yang menjadi kenangan manis mereka, termasuk kekeliruan pensyarah, rakan-rakan, dan keluarga terhadap identiti mereka.
“Pernah pensyarah memarahi saya, sedangkan pelajar yang sepatutnya dimarahi adalah Maisara.
"Kami sudah biasa sepanjang 22 tahun ini,” kata Maisuri sambil gelak.
Maisara turut berkongsi saat dia hampir berputus asa dalam pengajian tetapi kekuatan daripada ibunya menjadi inspirasi untuk meneruskan pelajaran.
“Saya mahu habiskan belajar supaya dapat kerja yang baik, membina masa depan, dan mengubah nasib keluarga. Mama adalah sumber kekuatan utama saya,” katanya.