fb fb fb fb fb

Paras air melebihi tahap bahaya di enam negeri - JPS

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 17 November - Sebanyak 15 stesen kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air melebihi tahap bahaya membabitkan Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ini berdasarkan data yang dikongsi JPS melalui laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my setakat pukul 10.45 pagi ini.

Selangor merekodkan stesen terbanyak melibatkan Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat, Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang, Sungai Klang di Taman Sri Muda, Klang dan Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang.

(FOTO HIASAN)

"Selain itu Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang, Sungai Langat di Dengkil, Sepang serta Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang.

"Di Sarawak pula melibatkan stesen di Long Jegan, Long Teru dan Marudi, Miri, Pahang (Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera), Johor (Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat), Negeri Sembilan (Sungai Linggi di Pekan Linggi, Port Dickson) dan Melaka (Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah)," kata JPS menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

JPS turut meminta orang ramai untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan cuaca semasa.

Amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat berkenaan kenaikan aras sungai serta kadar lebat hujan boleh diperolehi melalui laman sesawang rasmi ataupun akaun twitter Public Infobanjir.

Media Baharu