LABUAN, 16 Oktober - Kawasan pesisiran pantai di Kampung Layang-Layangan di Labuan akan dinaik taraf sebagai tarikan baharu kepada penduduk tempatan dan pengunjung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata kawasan itu bakal dilengkapi dengan kemudahan awam yang dinaik taraf dan sebuah terowong reka bentuk unik bagi meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi riadah hujung minggu.
Selain keindahan pantai, lokasi itu akan berwajah baharu dengan tarikan untuk swafoto yang berwarna-warni.
Projek dilaksanakan Perbadanan Labuan (LC) itu akan turut meliputi pembinaan gerai makanan baharu dan menaik taraf struktur gerai sedia ada.
"Saya yakin Labuan memang sedia ada produk dengan pulau yang indah, pantai yang cantik dengan suasana matahari seperti di pantai Layang-Layangan ini serta pelbagai lagi produk makanan daripada komuniti," katanya selepas meninjau lokasi itu, semalam.
Tambah beliau, projek berkenaan sebahagian usaha berterusan untuk menambah baik kemudahan awam dan infrastruktur pelancongan di Labuan, sejajar dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Labuan sebagai hab pelancongan.