fb fb fb fb fb

Pandang serius amaran cuaca MetMalaysia - Fahmi

(Fahmi Fadzil)

PUTRAJAYA, 16 Disember- Orang ramai dinasihatkan agar peka dan memandang serius mengenai amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKD), Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Saya harap semua pandang serius amaran daripada MetMalaysia," katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri KKD di sini.

Ujar beliau, pihaknya telah berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk bekerjasama dengan syarikat- syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan sistem amaran terutamanya di kawasan yang telah dikenal pasti berkemungkinan menjadi titik panas.

Sementara itu, Fahmi turut menasihatkan pengguna media sosial agar menjaga adab dan aib sebelum menyebarkan rakaman atau gambar sesuatu insiden bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan salah faham orang ramai terhadap maklumat yang disampaikan.

Tambahnya, maklumat yang sahih itu perlulah hanya disalurkan melalui media rasmi dan media arus perdana.

"Satu peringatan kepada diri saya dan semua bahawa 'semak sebelum sebar' sebarang berita yang diterima," katanya.

 

(Fahmi Fadzil)

Media Baharu