fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: KPDN salur bantuan sukarelawan, makanan kepada pasukan penyelamat

 (Salahuddin Ayub)

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyalurkan bantuan sukarelawan dan makanan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, pagi tadi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bantuan itu akan dihantar serta merta bagi membantu kelancaran operasi SAR mangsa yang masih belum ditemui.

“KPDN mengucapkan rasa sedih dan takziah kepada mangsa dan keluarga tragedi tanah runtuh yang berlaku awal pagi tadi.

"Didoakan semoga pasukan penyelamat akan dapat menjalankan tugas mereka dan mudah-mudahan mereka yang terperangkap akan dapat diselamatkan," katanya pada sidang media Perasmian Ops Terjah KPDN di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Twitter memaklumkan 16 mangsa meninggal dunia, manakala 61 lagi dijumpai selamat membabitkan keseluruhan kira-kira 94 mangsa, setakat pukul 1.08 tengah hari.

"17 mangsa lagi masih hilang dan operasi SAR sedang giat dijalankan," katanya.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).

(Kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 16 orang
setakat pukul 1.45 tengah hari)

Media Baharu