fb fb fb fb fb

Perkhidmatan feri untuk motosikal, basikal dihentikan sementara bermula 1 Januari

(Perkhidmatan feri untuk motosikal dan basikal dihentikan sementara bermula 1 Januari bagi kerja-kerja menaik taraf
dermaga di terminal feri PSAH dan PRTU/BERNAMA)

GEORGETOWN, 16 Disember- Perkhidmatan feri yang membawa motosikal dan basikal akan dihentikan menjelang 1 Januari depan untuk kerja-kerja naik taraf di dermaga terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Tan Teik Cheng berkata, proses naik taraf itu akan mengambil masa hampir tujuh bulan yang merangkumi penggantian pelantar laluan dan pemasangan ponton terapung untuk disesuaikan dengan spesifikasi feri baharu.

Bagaimanapun, jelas beliau pengunaan feri untuk penumpang masih berjalan seperti biasa.

"Pengunaan feri untuk penumpang masih berjalan seperti biasa dengan sebanyak 200 slot parkir berbumbung bagi motosikal dan basikal secara percuma disediakan di PSAH dan Swetenham Pier Cruises Terminal (SPCT)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke terminal feri di sini.

Tambah Tan Teik, kerja-kerja naik taraf membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu turut melibatkan proses memasang cerucuk di dasar laut bagi mengukuhkan lagi ponton terapung.

"Proses tersebut akan mengambil sedikit masa memandangkan ia berisiko tinggi," katanya.

Lawatan Tan Teik ke terminal berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari.

 (Tan Teik Cheng (dua, kiri) dan Zairil Khir Johari (dua, kanan) ketika melakukan lawatan
di terminal feri PSAH/BERNAMA)

Media Baharu